Pandangan
Prof.Dr tentang amalan
'MEMBACA':
Menurut Prof.Dr Hashim Musa, membaca merupakan satu langkah penting dalam membentuk minat seseorang untuk menulis. Amalan membaca perlu dijadikan salah satu kegiatan yang berfaedah dalam kehidupan seharian. Ini kerana, untuk menghasilkan sesebuah karya yang bermutu, kita perlu mendalami setiap ilmu bagi memastikan penulisan yang dihasilkan mempunyai nilai ilmu yang berguna. Selain itu, membaca juga merupakan jaringan kepada pembentukan minda masyarakat. Justeru, minat membaca seharusnya dipupuk sejak dari kecil lagi. Ini bertepatan dengan peribahasa, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan yang penting dalam membentuk minat membaca dalam kalangan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu menjadi contoh yang baik dalam menerapkan minat tersebut dalam diri anak-anak dengan turut sama membaca di perpustakaan dan mengunjungi kedai-kedai buku bersama anak-anak mereka. Amalan ini secara tidak langsung dapat memupuk minat mereka dan menjadikan ia sebagai satu kebiasaan.
Buku-buku yang dijadikan bahan bacaan juga perlu dipantau oleh ibu bapa. Ibu bapa seharusnya memilih bahan bacaan yang berguna kepada anak-anak mereka. Bahan-bahan bacaan tersebut seharusnya mengandungi unsure nilai moral dan pengajaran yang tinggi dan mendatangkan manfaat dan ilmu yang berguna kepada anak-anak. Amalan membaca juga dapat mengelakkan anak-anak khususnya golongan remaja terjebak dalam gejala sosial seperti melepak, menagih dadah dan sebagainya. Ini kerana, dengan membaca, anak-anak dapat mengisi masa lapang dengan sesuatu yang bermanfaat. Ilmu yang diperolehi sewaktu pembacaan dapat mengajar dan membuatkan mereka berfikir peri pentingnya menghargai masa dalam kehidupan seharian.
0 comments:
Post a Comment